Israk Mikraj dan bumi Palestin

ألحمد لله القائل : “لتجدن أشد الناس عداوة للذين ءامنوا اليهود والذين أشركوا”
أشهد أن لااله الاالله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه, اللهم صل وسلم على هذا النبي الأمي الذي بلغ الرسالة وادى ألأمانة ونصح الأمة وجاهد في الله حق جهاده حتى اتاه اليقين وهو امام المتقين وقادة دعاة المجاهدين فصلوا عليه وعلى آله وصحبه ومن تبعه باحسان الي يوم الدين.
أما بعد,

فيا عباد الله, اتقوا الله أوصيكم واياي بتقوى الله فقد فاز المتقون
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Di hari jumaat yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan menyiapkan bekalan amal kita semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
Firman Allah:
“وتزودوا فان خير الزاد التقوى واتقون يا أولي الألباب ”
“Dan tambahkanlah bekalan, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah Ketaqwaan dan takutlah kamu kepadaKu wahai orang yang memiliki fikiran” Surah Albaqarah : 197
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah yang saya bacakan di awal khutbah tadi bermaksud:
“ Kamu akan dapati mereka yang amat memusuhi orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang kafir” Surah Al Maidah :82.
Bulan Rejab adalah antara bulan hijrah yang mempunyai pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan masjid al aqsa dan bumi Palestin. Antaranya ialah peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku kepada baginda s.a.w dan juga pembebasan masjid alaqsa dari kekejaman tentera salib oleh Panglima Solahuddin Al-Ayyubi. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada tanggal 27 Rejab.
Kita juga tidak lupa tanggal 15 mei 1948 adalah tarikh hitam bagi umat Islam sedunia. Pada hari tersebut Kerajaan Haram Israel telah diiklankan penubuhannya di bumi mulia umat Islam iaitu bumi Palestin. Sejurus selepas pengistiharan tersebut kerajaan haram ini telah diiktiraf kewujudannya oleh kuasa-kuasa besar dunia ketika itu khususnya Britain dan Amerika Syarikat.
Sidang Jumaat yang dipilih menjadi tetamu Allah,
Khutbah kali ini akan cuba memberikan gambaran akan ancaman, bahaya, penindasan, kekejaman, pengusiran dan pembunuhan saudara seagama kita di Masjid Aqsa dan sekitarnya.
Sejak tahun 1948 sehingga kini bumi Israk dan Mikraj ini telah dinodai dan dicemari oleh orang Yahudi tanpa ada noktah penghujungnya. Bermula dengan penghijrahan secara paksa di tebing barat pada tahun 1948 yang berjumlah lebih 750,000 hinggalah kepada usaha yang berterusan dan terancang untuk meruntuhkan masjid aqsa dan membina diatanyas kuil yang mereka dakwa sebagai “The King Solomon Temple”.
Pelarian Palestin 1948 itu hingga hari ini telah mencecah angka hingga 7 juta orang, mereka tidak dibenarkan pulang ke kampong halaman mereka hingga ke hari ini. Pelarian ini adalah pelarian dunia yang paling ramai dan lama dalam sejarah manusia. Ia telah berlarutan hingga 66 tahun. Sebahagian mereka hidup tanpa pengenalan diri dan kewarganegaraan, sebahagian mereka berada di dalam palestin dan sebagian yang berada di seluruh pelusuk dunia dan hidup serba kekurangan serta tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kenapakah dunia bisu tanpa bahasa dan tiada keprihatinan terhadap isu ini? Dimanakah hak saudara-saudara kita ini untuk hidup ditanahair mereka sendiri sedangkan orang Yahudi semakin ramai berhijrah dan menetap secara haram dibumi bertuah umat Islam itu.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Sehingga kini lebih daripada 80% tanah Palestin telah dijajah oleh Rejim Israel. Fakta sejarah moden membuktikan sebelum tahun 1900 orang Yahudi hanya memiliki kurang dari 2% bumi Palestin.
Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku adakah kerana Yahudi yang dibantu oleh kuasa besar dunia dengan senjata yang canggih semata sehingga mereka mampu merampas dengan begitu rakus tanah suci umat ini. Syeikh Raed Solah seorang pejuang pembebasan Palestin yang terkenal dengan panggilan Syeikh Al Aqsa ketika diajukan soalan ini beliau menjawab: Sebenarnya isu ini bukanlah sepenuhnya berkaitan dengan kekuatan yahudi dan sokongan kuasa besar dunia kepada mereka tapi sebab yang utama dan paling penting yang menyebabkan bumi Palestin dijajah ialah Umat ialah telah lupa akan kemuliaan dan kesuciaan tanah ini serta mereka saling bermusuhan sesama sendiri dan berpecah belah. Ini menyebabkan musuh mudah untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita mereka. Sudah sampai masanya untuk umat ini kembali bangun berjuang membebaskan tanah suci ini dan langkah pertama yang mesti mereka lakukan ialah menyatupadukan kembali kekuatan umat ini dibawah naungan Al-Quran Dan Al-Hadith.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Saban hari penderitaan, kekejaman dan pembunuhan berlaku di sini, apakah layak kita sebagai umat yang satu aqidah dan bersaudara menjadi penonton semata? Saudara kita di Palestin sedang berjuang mempertahankan maruah dan kehormatan umat ini. Tanah mereka dirampas, roboh mereka dirobohkan, sekolah mereka dihancurkan, hospital mereka diletupkan, masjid mereka di tukarkan menjadi biara yahudi atau pusat arak dan hiburan.
Adakah layak untuk kita membisu tanpa suara, tanpa sikap dan tindakan. Berapa lamakah kita harus biarkan kezaliman dan kekejaman ini?
Firman Allah:
والذين كفروا بعضهم أولياء بعض الا تفعلوا تكن فتنة في الأرض وفساد كبير.
“Dan orang-orang kafir sebahagian mereka membantu sebahagian yang lain. Jika kamu (orang-orang beriman) tidak melakukan sedemikian (bantu membantu sesame kamu) nescaya akan terjadi kekacauan dan kerosakan yang besar”
Surah Al Anfaal: 72
Sidang Jumaat yang dimulaikan Allah,
Masjid Aqsa adalah salah satu mercu tanda kemuliaan umat ini. Masjid ini diiktiraf sebagai Kiblat Pertama, Masjid kedua yang dibina selepas Masjidil Haram dan Kota suci ketiga umat ini. Sebenarnya pemilihan Allah dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang menjalankan Baginda Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin adalah satu isyarat untuk menunjukkan keutamaan dan kemuliaan kedua-dua tempat ini yang wajib dipertahankan oleh kita umat Islam.
Apakah situasi yang sedang berlaku di Masjid Al Aqsa? Sejak tahun 1967 hingga hari ini usaha terancang dan berterusan Yahudi Zionis untuk meruntuhkan Masjid Aqsa terus berlangsung tanpa henti. Segala bantuan kewangan dan kemahiran yang datang dari seluruh” Dunia Yahudi” digunakan untuk merealisasikan hasrat mereka.
Ungkapan Theodor Herztel bapa yahudi sedunia sentiasa terngiang di telinga mereka “ Tiada Negara Israel jika tiada Jurusalem (Kota Al Quds) “.
Di bahagian bawah tanah Masjid Aqsa mereka menggali terowong dengan alasan mencari bukti sejarah kewujudan rumah berhala mereka “ The King Solomon Temple” berterusan sejak 1967 hingga ke hari ini. Sehingga kini mereka gagal menjumpai walaupun sebutir batu yang membuktikan kewujudan rumah berhala tersebut disitu namun usaha penggalian tiada noktah pengakhirannya. Bahkan apa yang berlaku sekarang mereka menggali dan membina binaan mereka diterowong tersebut untuk membuktikan kewujudan rumah berhala itu. Satu persatu binaan dan mercu tanda kuil tersebut didirikan. Dalam masa yang sama mereka berusaha melemahkan tapak asas binaan masjid al aqsa bahkan sebahagiannya sudah berlaku keretakan khususnya di Pintu Magharibah.
Medan Buraq iaitu tempat Nabi s.a.w mengikatkan buraqnya semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj sekarang ini telah dikuasai oleh Yahudi sepenuhnya. Disini dijadikan tempat untuk menyambut dan meraikan pendatang haram Yahudi kebumi Palestin. Bahkan disinilah didirikan “Dinding Menangis” sebagai tempat ibadat mereka.
Didalam kawasan masjid Al aqsa telah dibina balai polis Irael yang berperanan untuk melindungi golongan pelampau Yahudi melakukan Ritual agama mereka dan menyekat segala usaha orang Islam untuk menghalang golongan pelampau tersebut melakukan ibadat mereka. Apakah ibadat yang mereka lakukan itu? Ibadat tersebut adalah pengiklanan dan pengistiharan bahawa masjid Aqsa mesti diruntuhkan dan di bina diatas keruntuhannya “The King Soloman Temple”. Adakah layak kita sebagai seorang muslim berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja dengan tindakan pelampau Yahudi Tersebut?
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Telah lebih 47 tahun Masjid Aqsa menderita dicemari dan dikotori oleh golongan Yahudi durjana. Tanah-tanah saudara kita di sana saban hari dirampas, rumah mereka dirobohkan, tembok pemisah didirikan dan sekatan serta hubungan luar mereka dinafikan. Bahkan mereka menjadi pelarian dan dinafikan hak untuk hidup aman di tanahair mereka sendiri.
Inilah sebahagian dari paparan penderitaan, kekejaman, pengusiran, penindasan dan pembunuhan yang sedang berlaku di sana. Namun dengan Izin Allah mereka masih lagi berjuang dan mempertahankan Aqidah mereka. Semoga Allah memberkati perjuangan mereka dan memberi peluang kepada kita untuk sama-sama merasai keperitan dan kesengsaraan mereka seterusnya berkongsi pahala dengan membantu mereka apa yang terdaya oleh kita.
Firman Allah:
لايقاتلونكم الا في قرى محصنة أو من وراء جدربأسهم بينهم شديد تحسبهم جميعا وقلوبهم شتى ذلك بأنهم قوم لا يعقلون
“Mereka (Ahli Kitab) tidak akan memerangi kamu kecuali di kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok, Permusuhan diantara mereka sangat teruk. Kamu menyangka mereka bersatu hati sedangkan hati mereka berpecah belah, yang demikian itu adalah kerana merera golongan yang tidak berfikir”
Surah Al Hasyr : 13.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِالُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
الفقير الى الله
شهرالزمان بن بستمام
ايكاتن مسلمين مليسيا

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: