Masjid Aqsa dan keperihatinan umat

ألحمدلله الذي أعطى لنا فرصة لاستكمال شهر رمضان المبارك. شهر انزل فيه ألقرأن هدى للناس. شهر فرض فيه الصيام لعباده المتقين . شهر عتق فيه من النار لعباده المختارين.

أشهد أن لااله الاالله وحده لا شريك له واشهد ان محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه وعلى آله وصحبه ومن اتبع سبيله الى يوم الدين. اللهم صل على هذا النبي ألأمى وعلى آله وصحبه أجمعين.

أما بعد, فيا عباد الله اتقوا الله, أوصيكم واياي بتقوى الله فقد فاز المتقون.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian agar kita sentiasa berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Apatah lagi di bulan ramadhan yang penuh kemuliaan ini. Amat rugi dan malanglah sekiranya kita tidak memanfaatkan kesempatan ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan pengabdian kepada Ilahi.

Firman Allah:-

ومن أظلم ممن منع مساجد الله ان يذكرفيها اسمه وسعى في خرابها اولئك ما كان لهم أن يدخلوها الا خائفين لهم في الدنيا خزى ولهم في الاخرة عذاب عظيم.

114. dan siapakah Yang lebih zalim daripada orang-orang Yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? orang-orang Yang demikian, tidak sepatunya masuk ke Dalam masjid-masjid itu melainkan Dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara Yang mereka lakukan itu). mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa Yang amat besar. (Surah Al-Baqarah: 114)

Khutbah pada kali ini ingin mengajak sidang jemaah sekalian menyorot dan mengingati satu peristiwa yang berlaku kepada salah sebuah masjid yang mulia lagi suci bagi kita umat Islam iaitu masjid Al-Aqsa di kota Al Quds Palestin.
Pada tanggal 21 ogos tahun 1969 berlaku satu peristiwa besar yang merupakan antara sejarah hitam bagi Masjidil Aqsa dan Ummat Ini. Pada hari tersebut Masjidil Aqsa telah dibakar oleh tangan-tangan yahudi durjana. Pelakunya bernama Michael Dennis Rohan yang berbangsa Yahudi berasal dari Australia. Akibat kejadian itu lebih 1/3 daripada masjid qibli yang kini di panggil masjid al-aqsa hangus dibakar termasuk mimbar Solahuddin Al-Ayubi yang merupakan simbol kemuliaan umat ini dalam memperingati perjuangan menentang tentera salib di Palestin.

Rentetan dari peristiwa ini umat Islam di Palestin dan seluruh dunia bangun mengutuk membantah tindakan keji pemuda tersebut. Akhirnya Kerajaan Haram Israel terpaksa mengambil tindakan dengan menangkap pemuda tersebut untuk dikenakan hukuman. Namun amat malang bagi ummat ini kerana tiada hukuman dijatuhkan kepada pemuda tersebut. Pihak berkuasa Israel memaklumkan bahawa pemuda tersebut adalah seorang gila lalu dihantar pulang ke Australia dengan selamatnya.

Sidang Jemaah Dirahmati Allah,
Apakah perkara sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir peristiwa pembakaran ini? Kenapakah pemuda tersebut tidak dikenakan hukuman oleh kerajaan Haram Israel? Sebenarnya peristiwa tersebut berlaku penuh dengan perancangan yang teliti yang melibatkan pihak berkuasa Israel di kota Al Quds. Pada hari kejadiaan bekalan air di masjid Al Aqsa diputuskan, pihak bomba di kota Al Quds yang dikuasai Yahudi sengaja melengahkan kedatangan mereka bahkan perkampungan Yahudi yang berhampiran dengan masjid Al Aqsa menghalang umat Islam dari menggunakan air mereka untuk memadamkan kebakaran. Inilah hakikat sebenar tragedi yang berlaku. Oleh itu adalah tidak hairan pemuda tersebut terselamat dari sebarang tindakan bahkan masih hidup dengan aman dan tanpa gangguan hingga ke hari ini. Hasil daripada peristiwa ini juga akhirnya Negara-negara umat Islam telah menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 25 September 1969. Antara tujuan utama penubuhan pertubuhan adalah untuk memperjuangkan dan mempertahankan kesucian Masjid Al Aqsa dan bumi Palestin.
Kita amat mengharapkan agar OIC dalam meneruskan peranannya dengan baik dan memberi tekanan kepada kerajaan Haram Israel serta mengembalikan Masjid Aqsa kepangkuan umat ini.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Ini bukan peristiwa pertama dan terakhir kebiadapan Yahudi keatas Masjid Al Aqsa tetapi adalah rentetan peristiwa panjang untuk menyakiti jantung hati ummat ini. Kota Al Quds yang terletak di sana Masjid suci kedua didirikan diatas mukabumi ini selepas Masjidil Haram di Mekah. Masjid ini sebenarnya telah dijajah oleh Yahudi sejak tahun 1967 lagi. Tujuan mereka menguasai tempat ini ialah kerana mereka ingin membina Haikal Sulaiman dengan meruntuhkan Masjid Al Aqsa yang akan dijadikan Ibu Negara bagi Kerajaan Israel Raya.

Diantara peristiwa hitam yang berlaku di masjid ialah penggalian terowong di bawah masjid Al Aqsa khususnya di Pintu Magharibah yang berdekatan dengan dinding Burak ( tempat nabi Muhammad s.a.w mengikat burak semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj). Mereka menggali terowong dibawah masjid Al aqsa dengan alasan untuk mencari kesan peninggalan sejarah kononnya terdapat tanda dan bukti kewujudan Haikal Sulaiman di tempat tersebut. Penggalian ini telah bermula semenjak tahun 1967 hingga kini. Tujuan sebenar penggalian ini adalah untuk melemahkan struktur asas masjidil Aqsa dan membiarkannya runtuh secara semulajadi. Namun begitu jenayah mereka ini berjaya di bongkar oleh seorang pejuang Palestin yang bernama Syeikh Raied Solah. Beliau telah memaklumkan kepada dunia berkaitan rancangan jahat Yahudi ini sejak tahun 1980an lagi. Pembongkaran isu ini telah menyebabkan beliau di tangkap dan di penjara. Beliau kini telah bebas dari tahanan dan masih meneruskan usaha mempertahankan masjid Al Aqsa yang merupakan antara lambang kemuliaan umat Islam seluruhnya.

Perkembangan terakhir di kota Al Quds menunjuk Yahudi semakin rakus untuk memastikan hasrat mereka membina kuil ibadat mereka berjaya. Tanah-tanah umat Islam di sekitar masjid Al Aqsa di rampas tanpa ihsan, penempatan-penempatan haram Yahudi bercambah bagaikan cendawan bahkan tembok pemisah setinggi 8 hingga 12 meter di bina sepanjang 700 kilometer untuk memisahkan umat ini dari rumah Allah yang mulia.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Adakah layak kita sebagai umat Islam yang bersaudara untuk sekadar berdiam diri dan menjadi pemerhati semata. Saudara-saudara kita di Palestin samada di semenanjung Ghaza ataupun di Tebing Barat dibantai saban hari oleh Yahudi Durjana. Sedangkan mereka adalah wakil kita yang berjuang mempertahankan kesucian masjid alsa dan bumi Palestin secara keseluruhannya.
Bilakah akan muncul generasi seperti didikan Saidina Umar Al Khattab dan Solahuddin Al Ayyubi yang telah berjaya membebaskan masjid aqsa dan sekitarnya daripada kezaliman? Kitalah yang patut segera menyahut seruan ini dengan kembali mendidik diri kita dengan didikan mukjizat Al Quran dan sunnah nabi junjungan. Apatah lagi di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, ayuh kita buktikan keperihatinan kita kepada mereka dengan apa jua cara yang kita mampu. Untuk membantu mereka, kita tidak semesti perlu pergi kesana bahkan ruang untuk mendapat pahala seperti mereka yang berjuang di Palestin adalah amat luas. Sebagai contoh Aman Palestin pertubuhan yang menyediakan teks khutbah jumaat kali ini menyediakan berbagai pakej bantuan dan sumbangan untuk para pejuang di sana. Begitu juga dengan NGO lain yang berkhidmat untuk Palestin.

Sekiranya kita tidak mampu memberi sumbangan kewangan, gunakanlah apa saja kemahiran yang kita ada untuk menyedarkan umat berkaitan dengan tragedi yang sedang berlaku samada dalam bentuk penulisan, ceramah, penganjuran program kesedaran berkaitan Palestin mahupun sembang-sembang kosong kita gantikan dengan sembang palestin dan seumpamanya.

Antara perkara yang dianjurkan oleh nabi s.a.w kepada kita di bulan ramadhan ini ialah kita perlukan memperbanyakkan doa untuk diri kita dan ummat ini. Oleh itu dari atas mimbar suci ini saya menyeru sidang jemaah sekalian agar kita memperbanyakkan doa untuk diri, keluarga dan ummat ini khususnya mereka yang sedang ditindas di Palestin dan seantero dunia apatah lagi kita kini berada pada penghujung 10 yang terakhir daripada bulan Ramadhan ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ambillah kesempatan Ramadhan yang masih berbaki ini untuk kita meningkatkan kebaktian dan ketaqwaan kepada Allah mudah-mudahan kita mendapat taqwa yang dijanjikan. Ingatlah sesungguhnya kejayaan kita yang sebenarnya ialah apabila kita mencapai nilai taqwa yang sebenarnya dan inilah yang kita ingin raikan di Idul Fitri nanti.

Seorang Pejungga Arab pernah berkata:-

ليس العيد لمن لبس الجديد ولكن العيد لمن تقواه يزيد

Bukanlah hari raya itu dengan berpakaian baru semata-mata tetapi hari raya itu adalah mereka yang sifat taqwa bertambah-tambah.

Firman Allah:

انما الموءمنون اخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقواالله لعلكم ترحمون.

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (surah Al Hujuuraat: 10)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Disediakan Oleh:
Ustaz Shaharuzzaman Bin Bistamam
Perunding dan Pengerusi Aman Palestin Perak

21 ogos 2011/ 21 Ramadhan 1423

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: