Ramadhan Tiba lagi

ألحمدلله الذي أعطى لنا فرصة لاستقبال شهر رمضان المبارك. شهر انزل فيه ألقرأن هدى للناس. شهر فرض فيه الصيام لعباده المتقين . شهر عتق فيه من النار لعباده المختارين. أشهد أن لااله الاالله واشهد ان محمدا عبده ورسوله وصفيه وحبيبه وعلى آله وصحبه ومن اتبع سبيله الى يوم الدين. اللهم صل على هذا النبي ألأمى وعلى آله وصحبه أجمعين.

 

  أما بعد, فيا عباد الله اتقوا الله, أوصيكم واياي بتقوى الله فقد فاز المتقون.

Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian agar kita sentiasa berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Apatah lagi di bulan ramadhan yang penuh kemuliaan ini. Amat rugi dan malanglah sekiranya kita tidak memanfaatkan kesempatan ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan pengabdian kepada Ilahi.

Firman Allah:

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

184. (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (surah albaqarah)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Antara bukti Ehsannya  Allah  kepada kita ialah Allah menyediakan kesempatan sebulan di bulan ramadhan untuk dijadikan asas kepada bekalan bagi sebelas bulan berikutnya. Sekiranya kita dapat menyempurnakan ibadat solat, puasa, memahami al-quran dan seumpamanya pada bulan ini pasti Allah akan memudahkan kita untuk meneruskan amalan-amalan tersebut pada bulan-bulan berikutnya. Seandainya kita gagal memanfaatkan kesempatan di bulan ramadhan ini dikhuatiri di bulan lain juga kita akan gagal berbuat demikian.

Sesungguhnya bulan ramadhan adalah bulan kemenangan yang hakiki bagi kita umat Islam ia bermula dengan turunnya wahyu yang pertama pada 17 ramadhan tahun pertama kenabian baginda s.a.w. Bermula dari peristiwa tersebut rahmat dan kasih sayang Allah berterusan untuk kita umat manusia.

Firman Allah:

185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (surah albaqarah)

Dunia yang sebelum itu berada dalam kepincangan dan kegelapan kerana cahaya ketauhidan dan keimanan yang semakin pudar akhirnya dengan Izin kembali bersinar dengan panduan dan pedoman Al-Quran yang diturunkan Oleh Allah kepada junjungan Nabi Muhammad S.a.w. pada bulan Ramadhan.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda mendidik diri mereka dengan didikan rabbani bersumberkan Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadhan. Di sinilah langkah mereka bermula untuk mencipta sejarah, asasnya keimanan kepada Allah, dasar hidup dan perjuangannya berlandaskan Alquran dan Assunnah dan matlamat hidupnya hanya semata-mata mencari Redha Ilahi.

Hasil daripada kefahaman mereka terhadap Al-quran bukan hanya sekadar mampu mengalunkan bacaanya dengan suara yang lunak dan merdu, mahupun hanya sekadar mengalirkan airmata ketakutan kepada azab Allah atau hanya gembira kerana janjian nikmat syurga semata…. Tetapi ia telah menyebabkan perubahan yang menyeluruh dalam peribadi dan kehidupan rasulullah serta para sahabat baginda.

Alquran telah dijadikan rujukan utama dalam segala aspek kehidupan mereka. Akhirnya akhlak jahiliyyah yang selama ini menguasai mereka berjaya ditukarkan kepada akhlak Islam yang hakiki. Hidup mereka yang hanya inginkan kenikmatan sementara di dunia telah di tukar untuk memastikan dunia adalah medan mereka beramal untuk mencari Redha Allah. Lahirlah manusia muslim yang muttaqin hasil didikan Al_quran. Cinta dan takutnya hanya kepada Allah, Redha makhluk bukan menjadi matlamat tapi redha  Allah adalah segala-galanya.

Firman Allah:

110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik. (surah al imran)

Didikan Al-Quran telah melayakkan mereka mendapat sanjungan Allah dan menjadi sebaik-baik umat pilihan Ilahi. Begitulah hebatnya mereka. Sekiranya kita ingin kembali menjadi umat yang mulia maka formula adalah sama dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda. Tidak boleh tidak kita mesti memahami alquran dan menjadikannya sebagai panduan kehidupan. Apatah lagi di bulan puasa yang mulia ini, marilah kita hidup dengan bertadarus al-quran dan memahami kandungannya sebaik mungkin.

Sidang Jemaah yang di kasihi Allah,

Selain al-quran bulan ini juga mengajar kita tentang hakikat puasa yang sebenar. Puasa bukan hanya berlapar dahaga semata tetapi hakikat ialah kita mesti melawan dorongan hawa nafsu yang mengajak kita menjauhkan diri dari Allah, menjaga segala anggota badan kita dari melakukan perkara yang boleh merosakkan pahala puasa kita terutamanya lidah, mata dan telinga kita.

Puasa adalah ibadat yang dapat mengajar kita erti kesabaran dalam melakukan ketaatan kepada Allah kerana tempoh masanya yang panjang dan lama. Sekiranya di bulan ini kita mampu melawan hawa nafsu dan kepentingan diri kita. Insya Allah akan dipermudahkan usaha kita melawan keduanya di bulan yang lain.

Sabda Nabi S.a.w:

“ Puasa dan al Qur’an memberikan syafaat kepada hamba pada hari Qiamat. Berkata puasa : Wahai tuhan, aku telah menghalangnya dari makan dan minum pada siang hari maka syafaatku padanya dan berkata al Qur’an : Wahai tuhan, aku telah menghalangnya dari tidur pada waktu malam maka

syafaatku padanya  ”

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah,

186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (surah albaqarah)

Marilah kita memperbanyakkan doa di bulan yang mulia dengan doa berikut atau yang seumpama dengannya :

اللهم انا نسئلك رضاك وجنة الفردوس الأعلى ونعوذبك من سخطك والنار

“Ya Allah, kami memohon kepadaMu akan keredhaanMu dan syurga FirdausMu serta kami berlindung denganMu daripada kemurkaanMu dan azab nerakaMu”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ustaz Shaharuzzaman Bistamam

Ketua Biro Tarbiah ISMA Caw Ipoh

Imam Masjid Idris Iskandar Shah 1, Sg. Rokam, Ipoh.

Jumaat 5 Ramadhan 1432H

ن.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: